Monday, June 27, 2016

23 Ramadhan

Ikhlas. 

Ikhlas itu rahsia Allah di dalam hati manusia. Tiada yang membalas keikhlasan selain Allah. Penilaian manusia tak lari dari kekhilafan, Maha Suci Allah yang mengetahui yang tersembunyi walau sebesar zarrah.

Ikhlas tidak hadir dalam sekelip mata. Ikhlas perlu dipupuk, ditanam, dipaksa dan dilatih berulang kali. Seperti melatih ikhlas dalam ibadah. Melatih ikhlas dalam memberi. Malah seperti iman, ikhlas juga akan selalu diuji dan teruji. Lalu yang mengganjari keikhlasan hanyalah Allah jua.

Semoga Allah terus mendidik hati untuk ikhlas keranaNya. Dan semoga Allah mendidik kita agar sentiasa berprasangka baik sesama kita. Tiada ikatan yang lebih bermakna melainkan ikatan yang diikat atas dasar kepercayaan, dan tiada hubungan yang lebih indah berbanding hubungan yang didasari dengan penerimaan tanpa syarat.

As-Syaffaa' 



Sunday, June 26, 2016

21 Ramadhan

21 Ramadhan

Ramadhan sudah memasuki fasa ketiga. Fasa 10 terakhir memburu laylatul qadr.

Alhamdulillah. Walhamdulillah. Summalhamdulillah.
Terlalu agung dan Rahim-Nya Allah mengizinkan diri yang dhaif ini berjodoh lagi dengan bulan yang mulia ini. Sedang perginya Ramadhan setahun yang lalu menyaksikan beberapa orang teman, saudara dan kenalan pergi menghadap Ilahi. Tiada lagi ruang bertadarus, tarawih, iktikaf mahupun sawm dan iftar. Tiada lagi peluang mengumpul bekalan dibawa ke sana. Apa yang dijana selama hayat ada, itulah yang menjadi penyelamat di dalam sana dan dinilai tika bertemu Yang Maha Mengadili.

Lalu apa pula yang aku ada untuk dibawa sebagai bekalan?
Allahu rabbi, masih terlalu banyak yang perlu dikutip selama masih bersisa nafas ini..

Sungguh Ramadhan kali ini membawa seribu makna yang tidak terungkap dek kata-kata.
Setiap detiknya begitu mengundang keinsafan.
Setiap harinya ada ketika-ketika yang menggetar perasaan.
Pada setiap malamnya ada pilu dan sayu menemani dasar hati.

Andai saja ini Ramadhan aku yang terakhir kali..